Pages

Thursday, November 20, 2008

:: LAGI BERITA ROMPAKAN/SAMUN ::

Pelajar UiTM diugut bunuh

Oleh NORLIDA AKMAR IDROSnorlida.idros@kosmo.com.my

SHAH ALAM - "Saya terlalu trauma dengan kejadian dirompak dan sehingga hari ini saya seolah-olah dihantui perasaan sendiri apabila merasakan tiga perompak yang tidak bertopeng itu masih ada di dalam bilik asrama saya."

Begitulah ketakutan yang dialami Sollehin Adnan, 20, selepas diikat kaki dan tangan serta diugut bunuh dalam kejadian rompakan di bilik asramanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, pukul 11.40 pagi kelmarin.

Turut bersama Sollehin yang merupakan pelajar tahun dua jurusan perubatan ialah tiga lagi rakannya.

Malah menurut pelajar itu, perasaan takut dan cemas akan datang semula apabila dia terpandang kesan luka pada lehernya akibat diacukan pisau oleh salah seorang penjenayah.

"Memang saya trauma sangat kerana peristiwa hitam yang berlaku pada siang hari itu amat menakutkan kerana ia boleh meragut nyawa saya dan tiga lagi rakan lain," katanya ketika ditemui Kosmo! di asrama lelaki UiTM di sini semalam.

Lebih teruk cerita Sollehin, dia masih terbayang-bayangkan seorang rakannya berlumuran darah di muka akibat dikelar penjenayah.

"Saya tak pasti kenapa kawan saya itu dikelar, mungkin disebabkan dia bangun daripada katil walaupun diarahkan mendiamkan diri," ujarnya.

Menceritakan kejadian itu, Sollehin memberitahu, dia dan tiga lagi rakannya semasa itu masih nyenyak tidur di katil masing-masing sebelum tiga lelaki dipercayai orang luar menyusup masuk ke bilik mereka yang tidak berkunci.

"Saya adalah orang pertama yang bangun tidur kerana dikejutkan dengan bunyi deringan telefon milik saya yang diletakkan di bawah katil.

"Dengan mata tertutup saya raba telefon di bawah katil dan bawah bantal tetapi tidak ada lalu dalam keadaan masih mamai saya berjalan ke bahagian loker di bahagian sudut bilik," ujarnya.

Katanya, ketika sampai di bucu loker, dia terkejut melihat ada tiga lelaki memakai jaket berwarna coklat dengan salah seorangnya kepala botak bersembunyi di belakang loker.

"Selepas perompak sedar saya nampak mereka, mereka terus tangkap saya dan acukan pisau ke leher dan meminta saya diam.

"Dalam masa sama, tiga lagi rakan saya tersedar daripada tidur selepas mendengar bunyi bising dan mereka juga diarahkan diam dan diminta hanya memandang tepat ke lantai atau diugut bunuh," jelasnya.

Katanya, dia dan tiga lagi rakan diikat kaki dan tangan menggunakan tali leher, tali pinggang, wayar elektrik dan tali skipping.

"Dalam masa kira-kira 10 minit, tiga perompak menggeledah loker yang tidak berkunci dan membawa lari satu komputer riba, lima telefon bimbit, wang tunai termasuk duit kelas lebih RM300, dua dompet dan satu jam tangan," jelasnya.
Sumber dipetik dari sini.

No comments: